City kemaruk imej elit

APABILA Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan membayar Thaksin Shinawatra £220 juta (RM1.03 bilion) untuk membeli Manchester City, beliau menjanjikan untuk berbelanja sakan, sesuatu yang tidak pernah disaksikan dalam sukan bola sepak sebelum ini. 

Pada Mei 2008, pasukan dibimbing Sven-Goran Eriksson yang tumpas 1-8 di tangan Middlesbrough pada perlawanan terakhir musim City sekadar bernilai £31 juta (RM153 juta).

Menakjubkan, pasukan yang diturunkan oleh Roberto Mancini ketika pasukan itu seri 1-1 dengan West Ham pada hari terakhir musim lalu bernilai £112 juta (RM552 juta), hampir empat kali ganda daripada skuad Eriksson.

Jika mengambil kira rentak sekarang, ramalan bagi pasukan City yang akan berdepan Tottenham Hotspur pada perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan depan adalah tujuh kali ganda daripada harga Eriksson - £212 juta (RM1.04 bilion).

Tidak hairan pengurus Aston Villa, Martin O'Neill dalam keadaan tidak mampu melawan apabila kelab dari Eastlands itu datang mengetuk pintu untuk membeli pemainnya.
O'Neill berkata: “Apabila pasukan seperti City berada dalam pasaran, mereka berada dalam kelas berbeza daripada kami.

“Ada pendapat beberapa tahun lalu bahawa Chelsea benar-benar membeli kejayaan.

“City kelihatan mengambil peranan itu sekarang. Ia adalah pilihan anda sama ada ia bagus atau sebaliknya.

“Kami fikir tidak mungkin ada satu lagi Chelsea selepas ini - mereka datang dan membeli pemain - tapi ia berlaku. Ia menjadikan keadaan lebih sukar.” Ia kelihatan seperti tidak berhenti langsung apabila Kumpulan Abu Dhabi United yang dimiliki Sheikh Mansour mengeluarkan £274 juta (RM1.35 bilion) bagi bayaran perpindahan dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Angka itu akan menjadi £290 juta (RM1.43 bilion) apabila pertahanan Serbia, Aleksander Kolarov melengkapkan perpindahan bernilai £16 juta (RM79 juta) dari Lazio minggu ini.

Ia juga akan melepasi angka £300 juta (RM1.48 bilion) apabila James Milner memberitahu Aston Villa dia mahu meninggalkan kelab O'Neill itu.

Keputusan Milner untuk mengetepikan Villa kurang dua tahun selepas perpindahan £12 juta (RM59 juta) dari Newcastle mengesahkan bahawa dalam bola sepak, setiap orang ada harganya.
Tawaran City sebanyak £20 juta (RM99 juta) sudah ditolak O'Neill - jadi mereka meningkatkan tawaran itu kepada £24 juta (RM118 juta).

Apabila City memulakan musim mereka pada 14 Ogos menentang Spurs, pemain seperti Robinho, Craig Bellamy, Nigel de Jong, Roque Santa Cruz, Wayne Bridge, Adam Johnson dan Shaun Wright-Phillips semuanya mungkin tidak akan berada dalam kesebelasan utama Mancini.

Jadi apa harapan buat bintang tempatan seperti Stephen Ireland, Micah Richards, Nedum Onuoha dan Michael Johnson, satu daripada produk akademi terbaik? Apabila City mengumumkan kerugian tahunan £92.6 juta (RM456 juta) Januari lalu, ia sepatutnya menghadirkan kebimbangan di kalangan ahli lembaga pengarah kelab.

Sebaliknya, ia tidak menghalang mereka untuk terus berbelanja dan awal musim panas ini membelanjakan £58.5 juta (RM288 juta) untuk mendapatkan khidmat David Silva, Yaya Toure dan Jerome Boateng.
Read More

Wenger bidas peraturan baru

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) membidas peraturan baru skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai “satu malapetaka buat bola sepak”, kelmarin.

“Saya percaya ia satu keputusan yang teruk buat bola sepak dan bagi pemain dan saya agak terkejut bagaimana kesatuan (pemain) menerimanya,” kata pengurus berbangsa Perancis itu. “Saya percaya ia juga satu keputusan yang amat buruk buat kelab-kelab.” Pada pandangan Liga Perdana, pemain “negara sendiri” tidak semestinya berbangsa Inggeris tetapi perlu menjadi ahli Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) atau FA Wales bagi tempoh tiga musim atau 36 bulan menjelang ulang tahun kelahiran ke-21 mereka.

Rancangan itu diperkenalkan untuk meningkatkan jumlah pemain muda “negara sendiri” dalam divisyen utama England.

Anehnya, ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas, yang baru saja memenangi Piala Dunia dengan Sepanyol, boleh layak sebagai seorang pemain “negara sendiri” kerana dia menyertai Arsenal pada usia 16 tahun dan kini berusia 23 tahun. Peraturan baru itu tidak banyak memberi kesan terhadap skuad senior Arsenal kerana Wenger memiliki sekurang-kurangnya lapan pemain yang layak dikategorikan sebagai pemain “negara sendiri”.

Wenger, yang skuadnya sejak kebelakangan ini dipenuhi dengan pemain asing, menjelaskan kenapa beliau menentang perubahan itu.
“Saya tidak menyokongnya, kerana ia bermakna ramai pemain tidak mempunyai kelab - itulah perkiraan matematik pertama kesan daripadanya,” katanya pada sidang akhbar menjelang kejohanan pra-musim Piala Emirates minggu ini.

“Keduanya, ia menyebabkan kelab berada dalam posisi lemah bagi kebanyakan tempoh pasaran perpindahan kerana apabila anda sudah memiliki 25 pemain, apabila anda membeli seorang pemain, anda mempunyai 26 dan anda perlu menyingkirkan seorang daripadanya.

“Jadi anda perlu berkira-kira apabila anda membeli seorang pemain, berapa kosnya untuk membuang seorang pemain.” Ditanya sama ada lebih baik ada sistem baru itu daripada kelab kaya “menyimpan” pemain, Wenger membalas: “Sering kali mengenai pandangan negatif. Kelab besar mempunyai 25 pemain terbaik sekalipun, anda tidak boleh menyekatnya menerusi keputusan sebegini.

“Hanya ada dua jalan penyelesaian. Jika kelab besar sudah membeli seorang pemain, dia perlu pergi ke kelab lebih kecil.

“Kelab lebih kecil membayar lebih daripada potensinya atau kelab besar membayar sebahagian daripada gaji, jadi bagi kedua-dua kes ia tidak memuaskan.” Peraturan baru itu hanya membabitkan perlawanan Liga Perdana, bukannya perlawanan Eropah atau Piala FA dan Piala Liga. - Reuters
Read More

Mourinho ancaman Barcelona

OSLO: Zlatan Ibrahimovic bimbang bekas jurulatihnya, Jose Mourinho akan membentuk skuad Real Madrid yang mampu menamatkan penguasaan Barcelona di dalam Liga Sepanyol.
Ibrahimovic, penyerang Barcelona yang bakal mengharungi musim kedua di Nou Camp, pernah beraksi di bawah bimbingan Mourinho di Inter Milan pada musim 2008 dan 2009.

“Mourinho antara jurulatih terbaik dunia,” kata Ibrahimovic kepada wartawan menjelang perlawanan persahabatan menentang kelab Valerenga.

“Setiap kali Jose mengendalikan sesuatu kelab, beliau akan memastikan kelab itu muncul juara. Pasti sukar untuk menewaskan Real, tapi kami adalah kelab terbaik dunia.” Barcelona menjuarai Liga Sepanyol dua musim berturut-turut mulai 2009 serta memenangi Liga Juara-Juara 2009.

Ibrahimovic yang menjaringkan 16 gol untuk Barcelona musim lalu, berkata dia mahu lebih menyinar kali ini dan kehadiran David Villa tidak akan menjejaskan kedudukannya.

Dia mengakui ada berbincang mengenai kedudukannya dengan jurulatih, Pep Guardiola selepas Barcelona membeli Villa.

“Setiap kali saya bertukar kelab, tahun pertama pastinya sukar dan dalam banyak kelab yang pernah saya wakili, tahun pertama di Barcelona adalah yang terbaik,” kata Ibrahimovic.

“Beliau (Guardiola) berkata saya penting untuk pasukan ini. Jika anda tidak penting, sudah tentu anda tidak akan diturunkan,” katanya.

Ibrahimovic berkata Villa adalah antara pemain terbaik dunia yang akan membantu Barcelona selepas ini. “Dengan adanya Villa, kami akan menjadi lebih kuat dan berpeluang memenangi Liga Juara-Juara,” katanya. - Reuters
Read More

Shebbie: Masa untuk berubah

HUJUNG minggu ini membawa persoalan pemilihan individu untuk mengisi pelbagai jawatan dalam pentadbiran bola sepak di negara kita. Sekali lagi tumpuan menjurus kepada pencalonan dengan beberapa individu mendapat publisiti meluas.
Sekurang kurangnya, matlamat tercapai juga seakan-akan menjadi ‘Raja Sehari ‘tetapi apa yang penting adalah polisi tertentu dan bagaimana untuk mencapai perubahan.

Adakah kita akan ‘membuka sempadan’ kepada pemain dari negara Asean? Pemain dari negara Asean ini tidak dianggap ‘pemain asing’. Ini harus diberi tumpuan kerana pemasaran Liga Super bermula dengan sokongan negara jiran. Tambah pula tiada syarat jumlah pemain yang boleh diturunkan ke padang.

Adakah kita seharusnya menjemput kembali pasukan dari Brunei, kelab atau pasukan kebangsaan? Sudahkah tiba masanya untuk mengubah sistem liga bertingkat kepada hanya satu pertandingan liga dengan 20 pasukan? Sudahkah kita menyedari pertukaran waktu perlawanan sudah kritikal untuk mengelak daripada bersaing dengan liga terkemuka dunia? Bilakah kita akan menyedari ‘penajaan’ adalah bermusim tetapi keahlian akan kekal selamanya? Keahlian yang dimaksudkan ini bukan keahlian kelab penyokong tetapi keahlian persatuan daerah atau persatuan negeri di mana ahli diberi insentif seperti diskaun barangan jualan ‘strategic partner’? Dan beralih ke pentadbiran bola sepak negeri pula, Johor sah menempah tiket ke Liga Perdana musim depan. Pasukan Johor FA kembali ke tempat asal selepas satu musim di Liga Super kerana sikap bodoh sombong. Kertas kerja sudah dibentang, arah sudah ditetapkan dan jalan sudah dibina tetapi kalau dipilih atau dilantik yang ‘blur sotong’ maka inilah akibatnya.

Sekiranya pentadbiran lama mengambil masa hampir 10 tahun untuk membawa bencana kepada bola sepak di negeri Johor maka pentadbiran baru pula mengambil masa lapan bulan.

Pentadbiran baru pula akan kekal dengan alasan mereka ini baru dilantik dan memerlukan lebih masa maka ‘merry go round’ ini akan berterusan dan bola sepak makin mundur.

Akhir kata, apa yang perlu adalah lebih kesedaran diri supaya individu-individu yang dilantik atau ingin dilantik sedar bahawa mereka ini tetap akan gagal di arena sukan kerana kurang ‘sporting nous’
Read More

Liverpool, Juventus lakar kemenangan

PARIS: Gergasi Eropah, Liverpool dan Juventus bermula dengan langkah kanan bersama jurulatih baru apabila masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan ketiga Liga Europa, semalam.

Dua jaringan David Ngog (gambar) menghadiahkan kemenangan buat Liverpool bimbingan Roy Hodgson ketika menentang kelab kerdil Rabotnicki di Macedonia manakala Luigi Delneri menyaksikan anak buahnya menewaskan kelab dari Ireland, Shamrock Rovers. 2-0.

Liverpool dan Juve terpaksa mengharungi pusingan kelayakan Liga Europa selepas masing-masing menduduki tangga ketujuh dalam liga masing-masing musim lalu sehingga memaksa rombakan di bahagian pengurusan di Anfield dan Stadio Olimpico.

Berbekalkan 10 pemain Piala Dunia, termasuk Steven Gerrard, Joe Cole dan Javier Mascherano yang masih belum cergas, Hodgson menurunkan sebahagian besar pemain simpanan di Filip II Arena di Skopje.

Liverpool mendahului permainan pada minit ke-17 apabila hantaran bola Lucas menemui Ngog dan pemain Perancis itu pantas menghukum kesilapan Egzon Belica yang terjatuh dengan melambungkan bola melepasi penjaga gol Martin Bogatinov sebelum menolak masuk bola ke gawang.

Ngog kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-59 apabila melakukan tendangan lambung dari jarak enam ela selepas mendapat hantaran lintang daripada Martin Kelly di sebelah kanan.

“Masih ramai pemain saya perlu kenal pasti, sebahagian daripadanya saya pernah berkerja bersama. Perlawanan itu satu latihan yang baik,” kata Hodgson yang memuji barisan mudanya. Jurulatih Juve, Delneri yang memberi peluang kepada beberapa pemain baru untuk merasai perlawanan kompetitif pertama, termasuk penjaga gol Marco Storari, bekas pemain pertahanan tengah Bari, Leonardo Bonucci dan pemain sayap Pepe.

Penyerang keturunan Brazil-Itali, Amauri meletakkan skuad Serie A itu di depan pada minit ke-3 di Dublin dengan menyempurnakan gerakan satu-dua dengan Diego sebelum menyumbat gol kedua, 15 minit sebelum permainan tamat.

“Saya selalu berasakan kami perlu bermain seperti corak permainan biasa dan menutup ruang yang boleh menyukarkan rentak mereka, namun kami tahu ia bukan mudah untuk dilakukan dalam tempoh 90 minit permainan menentang skuad cukup berkualiti,” kata pengendali Shamrock, Michael O’Neill.

“Dengan apa yang kami tunjukkan dalam perlawanan itu, tidak ada apa yang saya boleh minta dari pemain lagi.” - AFP
Read More