Khamis, 29 Julai 2010

Barcelona dibebani hutang

BARCELONA - Impian Barcelona untuk terus membida Cesc Fabregas kini berdepan satu lagi kesukaran.

Semalam, kelab gergasi Sepanyol itu dilaporkan memiliki hutang berjumlah £369 juta (RM1.8 bilion).
Laporan audit terbaru yang yang dilakukan ke atas kewangan Barcelona menunjukkan mereka telah mengalami kerugian lebih £64.36 juta (RM320 juta) pada musim lalu.

Masalah kewangan yang terpaksa ditanggung presiden baru kelab itu, Sandro Rosell memberi gambaran yang Barcelona mungkin terpaksa mengalah dalam usaha mereka memikat kapten Arsenal itu.

Sebelum ini, barisan lembaga pengarah lama yang diketuai Joan Laporta mendakwa Barcelona hanya memiliki hutang sebanyak £9.2 juta (RM45.8 juta) setakat penghujung Jun lalu.

Begitupun laporan audit terbaru itu telah mendedahkan mereka kini mengalami keadaan yang lebih teruk. Sementara itu, jurucakap Barcelona, Toni Freixa berkata, Arsenal masih enggan mengadakan rundingan untuk menjual Fabregas kepada mereka.

Fabregas, 23, masih memiliki baki kontrak lima tahun bersama Arsenal dan sama ada Laporta atau Rosell, kedua-dua mereka telah dikecewakan dengan ketegasan pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang enggan melepaskan pemain itu.

Dengan bidaan awal mereka berjumlah £29 juta (RM144 juta) telah ditolak Arsenal awal musim panas ini, Barcelona telah membuat beberapa usaha bagi mengadakan perbincangan dengan Arsenal dan mereka tidak akan mengalah.

"Arsenal tak mahu duduk berbincang dan berunding dengan kami. Jadi ini bukan masalah tentang keinginan Fabregas atau Barcelona tetapi mereka (Arsenal) yang tak mahu bercakap tentang perkara ini," kata Freixa.

0 ulasan:

Catat Ulasan