Memaparkan catatan dengan label BOLASEPAK MALAYSIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BOLASEPAK MALAYSIA. Papar semua catatan

Finalis 2009 bertembung


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan terpaksa berdepan laluan sukar dalam usaha mempertahankan kejuaraan apabila diundi bersama-sama naib juara, Kelantan dalam Kumpulan A.

Di atas kertas, Kelantan yang juga merupakan naib juara Liga Super musim ini dilihat mempunyai sedikit kelebihan untuk muncul juara kumpulan berdasarkan pretasi semasa yang dipamerkan skuad kendalian B. Sathianathan itu.

Begitupun, The Reds Warrior dan skuad Hoben Jang Hoben tidak boleh memandang rendah kemampuan dua lagi pasukan yang turut diundi dalam Kumpulan A iaitu KL Plus dan Selangor PKNS.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim tidak mahu mendabik dada apabila menganggap peluang untuk keempat-empat pasukan dalam Kumpulan A sentiasa terbuka bagi mara ke peringkat suku akhir.

“Mungkin ramai yang menganggap selepas undian ini, Kelantan dijangka mudah untuk layak ke pusingan seterusnya tetapi bagi saya dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi dan kita tidak mahu mengambil sikap terlalu yakin.

“Selain Negeri Sembilan dan KL Plus, PKNS juga tidak boleh dipandang rendah dan saya menjangkakan pasukan mampu mencipta kejutan,” jelas Azman ketika ditemui sejurus tamat majlis undian Piala Malaysia di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, Terengganu dijangka mudah untuk mara ke peringkat suku akhir, apabila diundi mengetuai saingan dalam Kumpulan B bersama-sama tiga lagi pasukan iaitu Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah.

TENGKU ABDULLAH (kiri) menyampaikan trofi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana kepada pemain PKNS, Mohammad Zamri Hassan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Kumpulan C pula dilihat lebih menarik apabila bakal menyaksikan persaingan dua pasukan berstatus kelab iaitu Johor FC serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama naib juara Piala FA musim ini, Kedah dan juga Perak.

Pertembungan dua pasukan juara musim ini iaitu Selangor yang merangkul kejuaraan Liga Super serta Felda United yang menjulang trofi Liga Perdana dalam Kumpulan D sudah pastinya bakal menjadi perlawanan tumpuan.

Baik Selangor mahupun Felda United, kedua-dua pasukan ini sudah pastinya mempunyai misi tersendiri dalam saingan Piala Malaysia musim ini 

Begitupun mereka perlu melepasi halangan dua lagi pasukan yang turut diundi bersama dalam kumpulan D iaitu, T-Team dan Perlis.

Saingan Piala Malaysia musim ini akan memulakan aksinya pada 14 September ini hingga 30 Oktober depan yang mana juara dan naib juara setiap kumpulan secara automatik layak ke pusingan kedua.




Read More

Jangan melatah - Raja Ahmad




"JANGAN cepat melatah dengan pandangan ikhlas saya."

Demikian komen balas oleh bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (gambar) terhadap reaksi beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang baru dipilih berhubung kenyataannya yang disiarkan Kosmo! Rabu lalu.

Raja Ahmad berkata, beliau hanya melontar pandangan ikhlas demi kemajuan bola sepak negara.

"Saya tidak berniat untuk menimbulkan sebarang polemik kerana pandangan yang dilontarkan itu bukan untuk mengkritik mana-mana pegawai yang memenangi jawatan dalam FAM itu" katanya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! di Ipoh semalam.

Sebaliknya, Raja Ahmad hanya mahu pimpinan baru FAM terbabit supaya berfikir jika mereka perlu membuatkan keputusan yang membabitkan para pemain sendiri.

"Mereka boleh mengenepikan pandangan saya jika tidak bersesuaian, namun janganlah sesekali melatah. 

"Pertimbangkan dahulu dalam mesyuarat pertama nanti," jelasnya yang mahukan semua pegawai berkenaan berusaha meningkatkan mutu bola sepak negara seperti yang dilafazkan mereka sebelum sesi pemilihan pada Kongres Tahunan FAM ke-47.

Rabu lalu, Raja Ahmad menggesa beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang terpilih itu melepaskan jawatan masing-masing di peringkat negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan di peringkat kebangsaan.

Raja Ahmad menambah, kemungkinan pegawai-pegawai yang dipilih itu akan berdepan dengan kekangan masa apabila diberi tugas di peringkat nasional.

"Mereka mungkin tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkembangan di peringkat negeri kelak," jelasnya. 

Mengulas kenyataan Exco FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur bahawa wakil negeri perlu ada dalam barisan kepimpinan FAM, Raja Ahmad mendakwa kenyataan itu sebagai tidak tepat.

"Sebenarnya tidak semua persatuan bola sepak negeri ada wakil dalam FAM iaitu Melaka, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. 

"Jika dilihat dalam sudut ini, bagaimanakah peranan mereka dalam FAM kerana tidak mempunyai wakil dalam badan induk itu?," katanya.-dipetik dari Kosmo.

Read More

FAM mampu cetus model baru





                      SULTAN AHMAD SHAH (tengah) mengekalkan jawatan sebagai Presiden FAM yang disandang baginda sejak 1984.




BARISAN pemimpin baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipilih kelmarin dilihat mampu membawa model baru kepada perjalanan bola sepak tanah air.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau menganggap keputusan pemilihan itu sebagai suatu perkembangan yang baik.

"Saya percaya Tengku Abdullah yang merupakan tokoh cergas, aktif dan disegani, dapat membantu program pembangunan bola sepak seperti mana yang beliau tunjukkan sebagai pemimpin persatuan hoki negara," katanya ketika diminta mengulas keputusan pemilihan FAM bagi penggal 2010/2014 di Bandung, Indone- sia semalam.

"Kementerian telah menubuhkan jawatankuasa bola sepak, kami merancang untuk membangunkan beberapa akademi bola sepak seperti di Pahang, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor. Kita perlu- kan pusat satelit dan ia memerlukan persetujuan FAM.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa yang dipilih sebagai Timbalan Presiden FAM bersama barisan pimpinan baru persatuan itu mampu membawa model baru kepada perjalanan bola sepak tanah air.

Pada pemilihan itu, Tengku Abdullah kembali ke pangkuan FAM selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden bersama Annuar.

Manakala Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekal- kan jawatan presiden yang disandang baginda sejak 1984 apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup 18 Julai lalu.

Penyandang jawatan Timbalan Presiden sebelum ini, Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatan, sementara Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tewas dalam pemilihan itu.

Dua lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden yang tewas ialah Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Afandi Hamzah muncul satunya-satu penyandang yang berjaya mempertahankan jawatan.

Begitupun Datuk Subahan Kamal mendahului pemenang dengan undi tertinggi 28 undi, diikuti Datuk Hamidin Mohd Amin (27 undi), Afandi (20) dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim (19).
Ahmad Shabery berkata, Annuar telah menunjukkan rekod cemerlang ketika memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Dulu bola sepak terlalu bergantung kepada kerajaan, ternyata beberapa model telah menggerakkan masyarakat Kelantan mempunyai akademi sendiri, program waktu cuti untuk hantar anak-anak bermain bola, menyemarakkan sokongan masyarakat, penjualan barangan serta memperkenalkan konsep penjenamaan.

"Ini suatu perkara baru yang tidak ada di mana-mana," katanya. - Bernama
Read More

Skuad bola sepak B-21 negara diberi tiga pilihan

HALA tuju skuad Harimau Muda A akhirnya terjawab.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim tampil dengan menyatakan tiga opsyen yang akan dipertimbangkan untuk skuad bola sepak bawah 21 tahun (B-21) negara itu.

"Terdapat tiga pilihan. Pertama, menjalani kem latihan sepenuh masa di Slovakia serta bermain seba- nyak 12 perlawanan bermutu dengan kelab-kelab Liga 1 Slovakia berserta empat aksi persahabatan menentang negara-negara jiran Slovakia.

"Keduanya, attachment training bersama Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan Kelab Bola Sepak Cardiff City, manakala yang ketiga ialah mengadakan beberapa sesi latihan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.

Razali bersama-sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzud- din Ahmad semalam selesai menga- dakan lawatan kerja ke Seoul, Korea Selatan sejak Isnin lalu.

Jelas Razali, ketiga-tiga opsyen tersebut akan melibatkan kos yang hampir sama, namun keberkesanannya adalah menjadi pertimbangan utama kerana sasaran terdekat ialah untuk mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2011 Indonesia.

"Keputusan tentang pilihan yang mana akan dibuat itu hanya dapat ditentukan selepas Kongres FAM pada Sabtu ini (esok)," ujarnya.

Dengan pengumuman tersebut, maka hasrat untuk melihat Harimau Muda A beraksi dalam saingan penuh Liga 1 Slovakia 2010/11 membabitkan 36 perlawanan kini boleh dilupakan terus.

Sementara itu, Razali berkata, pada sesi perbincangan bersama pihak KFA, mereka telah mempelajari banyak perkara yang dilihat sesuai untuk aspek pembangunan bola sepak di negara ini.

"Aspek yang paling ketara ialah program pembangunan dan penyediaan pasukan kebangsaan Korea Selatan yang memperuntukkan perbelanjaan tahunan yang amat besar melebihi kira-kira 10 kali ganda peruntukan tahunan FAM.

"Malah jumlah untuk pembangunan bola sepak mereka juga melebihi bajet tahunan MSN," katanya.
Read More