Isnin, 2 Ogos 2010

Wenger bidas peraturan baru

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) membidas peraturan baru skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai “satu malapetaka buat bola sepak”, kelmarin.

“Saya percaya ia satu keputusan yang teruk buat bola sepak dan bagi pemain dan saya agak terkejut bagaimana kesatuan (pemain) menerimanya,” kata pengurus berbangsa Perancis itu. “Saya percaya ia juga satu keputusan yang amat buruk buat kelab-kelab.” Pada pandangan Liga Perdana, pemain “negara sendiri” tidak semestinya berbangsa Inggeris tetapi perlu menjadi ahli Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) atau FA Wales bagi tempoh tiga musim atau 36 bulan menjelang ulang tahun kelahiran ke-21 mereka.

Rancangan itu diperkenalkan untuk meningkatkan jumlah pemain muda “negara sendiri” dalam divisyen utama England.

Anehnya, ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas, yang baru saja memenangi Piala Dunia dengan Sepanyol, boleh layak sebagai seorang pemain “negara sendiri” kerana dia menyertai Arsenal pada usia 16 tahun dan kini berusia 23 tahun. Peraturan baru itu tidak banyak memberi kesan terhadap skuad senior Arsenal kerana Wenger memiliki sekurang-kurangnya lapan pemain yang layak dikategorikan sebagai pemain “negara sendiri”.

Wenger, yang skuadnya sejak kebelakangan ini dipenuhi dengan pemain asing, menjelaskan kenapa beliau menentang perubahan itu.
“Saya tidak menyokongnya, kerana ia bermakna ramai pemain tidak mempunyai kelab - itulah perkiraan matematik pertama kesan daripadanya,” katanya pada sidang akhbar menjelang kejohanan pra-musim Piala Emirates minggu ini.

“Keduanya, ia menyebabkan kelab berada dalam posisi lemah bagi kebanyakan tempoh pasaran perpindahan kerana apabila anda sudah memiliki 25 pemain, apabila anda membeli seorang pemain, anda mempunyai 26 dan anda perlu menyingkirkan seorang daripadanya.

“Jadi anda perlu berkira-kira apabila anda membeli seorang pemain, berapa kosnya untuk membuang seorang pemain.” Ditanya sama ada lebih baik ada sistem baru itu daripada kelab kaya “menyimpan” pemain, Wenger membalas: “Sering kali mengenai pandangan negatif. Kelab besar mempunyai 25 pemain terbaik sekalipun, anda tidak boleh menyekatnya menerusi keputusan sebegini.

“Hanya ada dua jalan penyelesaian. Jika kelab besar sudah membeli seorang pemain, dia perlu pergi ke kelab lebih kecil.

“Kelab lebih kecil membayar lebih daripada potensinya atau kelab besar membayar sebahagian daripada gaji, jadi bagi kedua-dua kes ia tidak memuaskan.” Peraturan baru itu hanya membabitkan perlawanan Liga Perdana, bukannya perlawanan Eropah atau Piala FA dan Piala Liga. - Reuters

0 ulasan:

Catat Ulasan