Ahad, 1 Ogos 2010

Mourinho ancaman Barcelona

OSLO: Zlatan Ibrahimovic bimbang bekas jurulatihnya, Jose Mourinho akan membentuk skuad Real Madrid yang mampu menamatkan penguasaan Barcelona di dalam Liga Sepanyol.
Ibrahimovic, penyerang Barcelona yang bakal mengharungi musim kedua di Nou Camp, pernah beraksi di bawah bimbingan Mourinho di Inter Milan pada musim 2008 dan 2009.

“Mourinho antara jurulatih terbaik dunia,” kata Ibrahimovic kepada wartawan menjelang perlawanan persahabatan menentang kelab Valerenga.

“Setiap kali Jose mengendalikan sesuatu kelab, beliau akan memastikan kelab itu muncul juara. Pasti sukar untuk menewaskan Real, tapi kami adalah kelab terbaik dunia.” Barcelona menjuarai Liga Sepanyol dua musim berturut-turut mulai 2009 serta memenangi Liga Juara-Juara 2009.

Ibrahimovic yang menjaringkan 16 gol untuk Barcelona musim lalu, berkata dia mahu lebih menyinar kali ini dan kehadiran David Villa tidak akan menjejaskan kedudukannya.

Dia mengakui ada berbincang mengenai kedudukannya dengan jurulatih, Pep Guardiola selepas Barcelona membeli Villa.

“Setiap kali saya bertukar kelab, tahun pertama pastinya sukar dan dalam banyak kelab yang pernah saya wakili, tahun pertama di Barcelona adalah yang terbaik,” kata Ibrahimovic.

“Beliau (Guardiola) berkata saya penting untuk pasukan ini. Jika anda tidak penting, sudah tentu anda tidak akan diturunkan,” katanya.

Ibrahimovic berkata Villa adalah antara pemain terbaik dunia yang akan membantu Barcelona selepas ini. “Dengan adanya Villa, kami akan menjadi lebih kuat dan berpeluang memenangi Liga Juara-Juara,” katanya. - Reuters

0 ulasan:

Catat Ulasan