Rabu, 11 Ogos 2010

Mancini buat perhitungan

Robinho
LONDON: Pengendali Manchester City, Roberto Mancini bercadang untuk bersua muka dengan bintang bermasalah Brazil, Robinho sebelum sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, bermula.

Robinho dipinjamkan kepada Santos sejak Januari lalu dan menegaskan untuk kekal di Brazil selepas gagal menampilkan aksi memikat di Eastlands sejak dibawa masuk dari Real Madrid dengan yuran perpindahan 32.5 juta pound (RM159.25 juta) untuk khidmatnya, dua tahun lalu.

Selepas Robinho beraksi dalam perlawanan persahabatan Brazil menentang Amerika Syarikat di New Jersey, Selasa depan, Mancini akan berbincang dengan pemain berusia 26 tahun itu. 

“Robinho akan kekal di Brazil sehingga perlawanan antarabangsa itu dan dia kemudian perlu hadir di sini kerana saya mahu bercakap dengannya,” kata Mancini. “Saya pernah bekerja dengannya selama sebulan dan dia kemudian membuat keputusan untuk pulang ke Brazil untuk persediaan bermain pada Piala Dunia.

“Tiada tekanan untuknya dari saya namun saya mahu berbincang dengannya kerana amat sukar untuk dia kekal di Santos,” kata Mancini. – AFP 

0 ulasan:

Catat Ulasan