Sabtu, 7 Ogos 2010

10 hari buat Liverpool

LIVERPOOL - Liverpool mempunyai tempoh 10 hari untuk membuat keputusan berhubung tawaran daripada haratawan dari China, Kenny Huang (gambar) bagi menyelesaikan hutang kelab itu.

Seandainya mereka gagal memberi jawapan selepas tempoh tersebut, Huang akan menarik balik hasratnya itu.

Huang yang memiliki syarikat pelaburan berpangkalan di Hong Kong, QSL Sports Ltd. mahu mengambil alih hutang pinjaman berjumlah £237 juta (RM1.2 bilion) yang ditanggung pemilik Liverpool, Tom Hicks dan George Gillett.

Liverpool kini menganggap Huang sebagai pembida yang serius dan pengerusi kelab, Martin Broughton sedia untuk membincangkan penjualan kelab itu dengan syarikat milik Huang.

Terdahulu, Huang telah memberi jaminan meyakinkan bahawa beliau akan memberi dana besar bagi membolehkan Liverpool membawa masuk beberapa pemain kelas dunia selain memasti- kan Fernando Torres kekal beraksi di Anfield.

Namun Huang menegaskan, beliau mahukan jawapan pasti daripada Liverpool selewat-lewatnya pada hujung minggu depan dan jika tidak, beliau akan membatalkan hasratnya itu.

Tindakan pengambilalihan hutang Liverpool tersebut bakal membuka peluang buat ahli perniagaan dari China itu untuk menyingkirkan Hicks dan Gillett sebagai pemilik kelab.

Sementara itu, Pengerusi Liverpool, Martin Broughton meminta tempoh sehingga 31 Ogos ini sebelum memberi kata putus berhubung tawaran daripada Huang.

"Segala keputusan mengenai perkara tersebut perlu di bincangkan terlebih dahulu dengan ahli-ahli lembaga pengarah Liverpool sekiranya syarat-syarat yang dikemukakan memuaskan hati mereka.
"Memang sebarang tawaran perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada RBS (Royal Bank of Scotland) dan barulah ia sampai kepada saya. 

"Namun dalam perkara ini, RBS tidak terlibat sama sekali kerana kuasa masih di tangan ahli-ahli lembaga pengarah.

"Ketika ini, situasi sebenar yang saya dapat gambarkan adalah kami mahu perkara ini diselesaikan sebelum pintu perpindahan pemain ditutup," jelas Broughton. - Agensi

0 ulasan:

Catat Ulasan