Isnin, 9 Ogos 2010

Hodgson bakar semangat Liverpool



LONDON - "Cermin diri sendiri dahulu dan jangan hanya mahu memberi alasan."

Itu amaran awal pengurus Liverpool, Roy Hodgson kepada barisan pemain bintangnya dalam usahanya memastikan skuad The Reds menjadi pencabar utama dalam pemburuan trofi Liga Perdana England musim ini.

Musim lalu, Liverpool dilihat mempamerkan aksi tidak menentu sehingga menyebabkan mereka gagal layak untuk bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Kini, belum pun saingan liga membuka tirainya, Liverpool mula diselubungi spekulasi mengenai siapa yang bakal menjadi pemilik baru kepada kelab yang berpangkalan di Anfield itu.

Namun Hodgson menjelaskan, masa depan Liverpool sebenarnya bukan bergantung kepada siapa yang bakal menjadi pemilik baru kelab tersebut.

Sebaliknya, dia berkata, ia bergantung kepada barisan pemain-pemain yang seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka bagi memastikan Liverpool mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Sebagai pemain, kamu yang mempunyai peluang bagi mengubah segala-galanya.
"Saya tidak mahu menyentuh mengenai hak pemilikan kelab kerana pihak pengurusan mempunyai alasan yang tersendiri mengapa mereka mahu menjualnya. Saya percaya ia telah didokumenkan dengan sebaiknya.

"Tetapi jika kamu merasakan yang ia tidak diuruskan dengan baik, pemain-pemainlah yang perlu mengubahnya,'' jelas Hodgson.

Tambah Hodgson, dia mahu barisan pemain bintangnya mempamerkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

"Mereka perlu cermin diri sendiri dan bukannya hanya memberikan alasan yang tidak masuk akal.

"Jangan juga menyalahkan pemilik kelab kerana tidak membelanjakan jumlah wang sebanyak £500 juta (RM2.5 billion) bagi mendapatkan pemain-pemain bintang yang lain," tambahnya. - Agensi

0 ulasan:

Catat Ulasan