Ahad, 1 Ogos 2010

Liverpool, Juventus lakar kemenangan

PARIS: Gergasi Eropah, Liverpool dan Juventus bermula dengan langkah kanan bersama jurulatih baru apabila masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan ketiga Liga Europa, semalam.

Dua jaringan David Ngog (gambar) menghadiahkan kemenangan buat Liverpool bimbingan Roy Hodgson ketika menentang kelab kerdil Rabotnicki di Macedonia manakala Luigi Delneri menyaksikan anak buahnya menewaskan kelab dari Ireland, Shamrock Rovers. 2-0.

Liverpool dan Juve terpaksa mengharungi pusingan kelayakan Liga Europa selepas masing-masing menduduki tangga ketujuh dalam liga masing-masing musim lalu sehingga memaksa rombakan di bahagian pengurusan di Anfield dan Stadio Olimpico.

Berbekalkan 10 pemain Piala Dunia, termasuk Steven Gerrard, Joe Cole dan Javier Mascherano yang masih belum cergas, Hodgson menurunkan sebahagian besar pemain simpanan di Filip II Arena di Skopje.

Liverpool mendahului permainan pada minit ke-17 apabila hantaran bola Lucas menemui Ngog dan pemain Perancis itu pantas menghukum kesilapan Egzon Belica yang terjatuh dengan melambungkan bola melepasi penjaga gol Martin Bogatinov sebelum menolak masuk bola ke gawang.

Ngog kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-59 apabila melakukan tendangan lambung dari jarak enam ela selepas mendapat hantaran lintang daripada Martin Kelly di sebelah kanan.

“Masih ramai pemain saya perlu kenal pasti, sebahagian daripadanya saya pernah berkerja bersama. Perlawanan itu satu latihan yang baik,” kata Hodgson yang memuji barisan mudanya. Jurulatih Juve, Delneri yang memberi peluang kepada beberapa pemain baru untuk merasai perlawanan kompetitif pertama, termasuk penjaga gol Marco Storari, bekas pemain pertahanan tengah Bari, Leonardo Bonucci dan pemain sayap Pepe.

Penyerang keturunan Brazil-Itali, Amauri meletakkan skuad Serie A itu di depan pada minit ke-3 di Dublin dengan menyempurnakan gerakan satu-dua dengan Diego sebelum menyumbat gol kedua, 15 minit sebelum permainan tamat.

“Saya selalu berasakan kami perlu bermain seperti corak permainan biasa dan menutup ruang yang boleh menyukarkan rentak mereka, namun kami tahu ia bukan mudah untuk dilakukan dalam tempoh 90 minit permainan menentang skuad cukup berkualiti,” kata pengendali Shamrock, Michael O’Neill.

“Dengan apa yang kami tunjukkan dalam perlawanan itu, tidak ada apa yang saya boleh minta dari pemain lagi.” - AFP

0 ulasan:

Catat Ulasan