Isnin, 2 Ogos 2010

City kemaruk imej elit

APABILA Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan membayar Thaksin Shinawatra £220 juta (RM1.03 bilion) untuk membeli Manchester City, beliau menjanjikan untuk berbelanja sakan, sesuatu yang tidak pernah disaksikan dalam sukan bola sepak sebelum ini. 

Pada Mei 2008, pasukan dibimbing Sven-Goran Eriksson yang tumpas 1-8 di tangan Middlesbrough pada perlawanan terakhir musim City sekadar bernilai £31 juta (RM153 juta).

Menakjubkan, pasukan yang diturunkan oleh Roberto Mancini ketika pasukan itu seri 1-1 dengan West Ham pada hari terakhir musim lalu bernilai £112 juta (RM552 juta), hampir empat kali ganda daripada skuad Eriksson.

Jika mengambil kira rentak sekarang, ramalan bagi pasukan City yang akan berdepan Tottenham Hotspur pada perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan depan adalah tujuh kali ganda daripada harga Eriksson - £212 juta (RM1.04 bilion).

Tidak hairan pengurus Aston Villa, Martin O'Neill dalam keadaan tidak mampu melawan apabila kelab dari Eastlands itu datang mengetuk pintu untuk membeli pemainnya.
O'Neill berkata: “Apabila pasukan seperti City berada dalam pasaran, mereka berada dalam kelas berbeza daripada kami.

“Ada pendapat beberapa tahun lalu bahawa Chelsea benar-benar membeli kejayaan.

“City kelihatan mengambil peranan itu sekarang. Ia adalah pilihan anda sama ada ia bagus atau sebaliknya.

“Kami fikir tidak mungkin ada satu lagi Chelsea selepas ini - mereka datang dan membeli pemain - tapi ia berlaku. Ia menjadikan keadaan lebih sukar.” Ia kelihatan seperti tidak berhenti langsung apabila Kumpulan Abu Dhabi United yang dimiliki Sheikh Mansour mengeluarkan £274 juta (RM1.35 bilion) bagi bayaran perpindahan dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Angka itu akan menjadi £290 juta (RM1.43 bilion) apabila pertahanan Serbia, Aleksander Kolarov melengkapkan perpindahan bernilai £16 juta (RM79 juta) dari Lazio minggu ini.

Ia juga akan melepasi angka £300 juta (RM1.48 bilion) apabila James Milner memberitahu Aston Villa dia mahu meninggalkan kelab O'Neill itu.

Keputusan Milner untuk mengetepikan Villa kurang dua tahun selepas perpindahan £12 juta (RM59 juta) dari Newcastle mengesahkan bahawa dalam bola sepak, setiap orang ada harganya.
Tawaran City sebanyak £20 juta (RM99 juta) sudah ditolak O'Neill - jadi mereka meningkatkan tawaran itu kepada £24 juta (RM118 juta).

Apabila City memulakan musim mereka pada 14 Ogos menentang Spurs, pemain seperti Robinho, Craig Bellamy, Nigel de Jong, Roque Santa Cruz, Wayne Bridge, Adam Johnson dan Shaun Wright-Phillips semuanya mungkin tidak akan berada dalam kesebelasan utama Mancini.

Jadi apa harapan buat bintang tempatan seperti Stephen Ireland, Micah Richards, Nedum Onuoha dan Michael Johnson, satu daripada produk akademi terbaik? Apabila City mengumumkan kerugian tahunan £92.6 juta (RM456 juta) Januari lalu, ia sepatutnya menghadirkan kebimbangan di kalangan ahli lembaga pengarah kelab.

Sebaliknya, ia tidak menghalang mereka untuk terus berbelanja dan awal musim panas ini membelanjakan £58.5 juta (RM288 juta) untuk mendapatkan khidmat David Silva, Yaya Toure dan Jerome Boateng.

0 ulasan:

Catat Ulasan