Isnin, 9 Ogos 2010

Jangan melatah - Raja Ahmad




"JANGAN cepat melatah dengan pandangan ikhlas saya."

Demikian komen balas oleh bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (gambar) terhadap reaksi beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang baru dipilih berhubung kenyataannya yang disiarkan Kosmo! Rabu lalu.

Raja Ahmad berkata, beliau hanya melontar pandangan ikhlas demi kemajuan bola sepak negara.

"Saya tidak berniat untuk menimbulkan sebarang polemik kerana pandangan yang dilontarkan itu bukan untuk mengkritik mana-mana pegawai yang memenangi jawatan dalam FAM itu" katanya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! di Ipoh semalam.

Sebaliknya, Raja Ahmad hanya mahu pimpinan baru FAM terbabit supaya berfikir jika mereka perlu membuatkan keputusan yang membabitkan para pemain sendiri.

"Mereka boleh mengenepikan pandangan saya jika tidak bersesuaian, namun janganlah sesekali melatah. 

"Pertimbangkan dahulu dalam mesyuarat pertama nanti," jelasnya yang mahukan semua pegawai berkenaan berusaha meningkatkan mutu bola sepak negara seperti yang dilafazkan mereka sebelum sesi pemilihan pada Kongres Tahunan FAM ke-47.

Rabu lalu, Raja Ahmad menggesa beberapa ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang terpilih itu melepaskan jawatan masing-masing di peringkat negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan di peringkat kebangsaan.

Raja Ahmad menambah, kemungkinan pegawai-pegawai yang dipilih itu akan berdepan dengan kekangan masa apabila diberi tugas di peringkat nasional.

"Mereka mungkin tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkembangan di peringkat negeri kelak," jelasnya. 

Mengulas kenyataan Exco FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur bahawa wakil negeri perlu ada dalam barisan kepimpinan FAM, Raja Ahmad mendakwa kenyataan itu sebagai tidak tepat.

"Sebenarnya tidak semua persatuan bola sepak negeri ada wakil dalam FAM iaitu Melaka, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. 

"Jika dilihat dalam sudut ini, bagaimanakah peranan mereka dalam FAM kerana tidak mempunyai wakil dalam badan induk itu?," katanya.-dipetik dari Kosmo.

0 ulasan:

Catat Ulasan