Jumaat, 13 Ogos 2010

RM115j untuk Reina


REINA (kiri) bersama Cesc Fabregas ketika merai kejayaan Sepanyol muncul juara Piala Dunia bulan lalu.


LONDON: Arsenal sudah melancarkan 'buruan menakjubkan' apabila menawarkan £23 juta (RM115 juta) untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Liverpool dan Sepanyol, Pepe Reina.

Ini kerana Arsene Wenger melihat bintang itu adalah pilihan terbaik bagi menyelesaikan masalah posisi penjaga gol yang dihadapinya ketika ini menjelang cabaran Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Dan pengendali Gunners itu sudah bersedia untuk meningkatkan harga sehingga £25 juta (RM125 juta) untuk mendapatkan pemain Sepanyol itu.

Tetapi Wenger tahu dia akan berdepan halangan besar untuk memikat pemain yang menjadi aset di Anfield. Dia mengamati penjaga gol Fulham, Mark Schwarzer tetapi peluang mendapatkan Reina, 27, masih jauh daripada jangkauan.

Reina, yang dibeli £6 juta (RM30 juta) dari Villarreal lima tahun lalu, sudah menandatangani perjanjian baru enam tahun dengan Liverpool, April lalu.

Dia tidak beraksi dalam Liga Europa, Khamis lalu ketika Liverpool menewaskan Rabotnicki berikutan hanya baru berlatih Isnin lalu – selepas berehat bersama bintang Piala Dunia Belanda dan kelab Sepanyol. 

Wenger terdesak untuk mendapatkan penjaga gol utama selepas Manuel Almunia dan Lukasz Fabianski dikritik hebat berikutan persembahan mengecewakan dan melakukan banyak kesilapan dalam 12 bulan lalu. – Agensi

0 ulasan:

Catat Ulasan